Showing posts with label Nilam. Show all posts
Showing posts with label Nilam. Show all posts

Monday, 25 May 2015

NILAM DAERAH MARAN

14 Mei 2015 - SK Bandar Pusat tidak lepas peluang untuk menyertai Pemilihan Tokoh NILAM daerah Maran. Seperti Tahun lepas, SKBP telah menyertai kedua-dua kategori iaitu, Tokoh NILAM Bahasa Melayu Sekolah Rendah dan Tohok NILAM Bahasa Inggeris Sekolah Rendah yang berlangsung di PKG Bandar Pusat.





PSS mengucapkan tahniah kepada peserta yang menyertai walaupun tidak terpilih sebagai Tokoh NILAM Daerah Maran.

Thursday, 23 April 2015

HARI BUKU, JOM BACA BERSAMA UNTUK 10 MINIT

23 APRIL 2015 - Sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2015, Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit telah berlangsung dengan jayanya di SK Bandar Pusat pada hari ini tepat jam 10.00 pagi hingga 10.10 pagi. Semua warga sekolah telah terlibat termasuk kakitangan Pusat Kegiatan Guru Bandar Pusat dan Kantin SK Bandar Pusat.




Program ini dilangsungkan di Foyer Tun Abdul Razak yang melibatkan murid Tahun 4 dan 5, manakala murid-murid lain meneruskan aktiviti PdP dan berhenti seketika untuk melaksanakan program ini pada pukul 10.00 pagi.




Program Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia bertujuan memartabatkan kedudukan buku sebagai sumber pengetahuan utama. Walaupun teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkembang pesat tetapi buku sebagai wadah untuk membina peradaban dunia tetap kekal dan tidak berubah.

Sesungguhnya, Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia adalah resolusi daripada persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 15 Nov 1995 yang mengisytiharkan 23 April sebagai Hari Buku.


Sunday, 19 April 2015

JOM MEMBACA

Program Anjuran Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan/Badan Berkanun, Perpustakaan-Perpustakaan Awam Negeri, Syarikat Awam dan Swasta dan individu yang berminat kini kembali lagi seperti ketetapan berikut :










Tuesday, 24 March 2015

PELANCARAN NILAM DAN KURSUS PENGAWAS PSS

24 MAC 2015 - PSS SK Bandar Pusat telah menerima tetamu dari 20 buah sekolah dalam program Pelancaran NILAM Peringkat Kelompok Jengka dan Kursus Kepimpinan Pengawas Pusat Sumber Sekolah.

Program ini melibatkan semua GPM dari 17 sekolah di bawah PKG Bandar Pusat dan 3 sekolah jemputanTurut serta ialah pegawai Teknologi Pendidikan daripada PKG Mentakab yang sama-sama menjayakan program ini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Maran selepas mengikuti Resensi Buku oleh pelajar NILAM SK Bandar Pusat dan SMK Jengka Pusat.


Selepas program berkenaan, semua pengawas mengikuti Kursus Kepimpinan Pengawas PSS di Perpustakaan Tun Seri Lanang SK Bandar Pusat untuk SK dan PKG Bandar Pusat untuk SM.

Sila ikuti foto aktiviti dengan klik link GALERI

Wednesday, 11 March 2015

MESYUARAT PENGURUSAN PELANCARAN NILAM GPM ZON JENGKA

11 MAC 2015 - Bertempat di PKG Bandar Pusat, semua GPM Zon Jengka telah memutuskan menerusi mesyuarat Pengurusan Pelancaran NILAM Zon Jengka untuk melaksanakan program tersebut seperti ketatapan berikut :

Tarikh : 24 Mac 2015 (Selasa)
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Foyer Tun Abdul Razak SK Bandar Pusat
Sasaran : 20 GPM , 80 Pengawas Pusat Sumber

Agenda yang dirancang antaranya; Pelancaran Program NILAM Peringkat Zon Jengka dan Kursus Kepimpinan Pengawas Pusat Sumber Sekolah.




Encik Asral yang juga Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Bandar Pusat akan menjalankan Kursus Kepimpinan kepada Pengawas PSS SM manakala Encik Zahid dari SK Bandar Pusat akan melaksanakan kursus tersebut kepada Pengawas PSS SK.

Monday, 16 February 2015

PELANCARAN PROGRAM 100 BUKU SETAHUN

16 FEBRUARI 2015 - Tuan Guru Besar, Tuan Haji hamzah bin Mat Ali, melancarkan Program 100 Buku Setahun dalam Perhimpunan Rasmi Pagi Isnin pada hari ini.

Sebelum itu, semua murid yang hadir pada hari ini disambut oleh para guru dalam Program Guru Penyayang dan disertai dengan memberi bahan bacaan untuk Program NILAM bersempena Program 100 Buku Setahun ini.





Dalam perhimpunan itu, Tuan Guru Besar mengingatkan murid-murid agar memastikan membaca tidak kurang 100 buah buku dan rekodkan dalam Buku Rekod NILAM. Adalah menjadi harapan sekolah agar semua murid SK Bandar Pusat pada tahun ini mencapai Tahap Minimum Jauhari Anugerah Gangsa.

Wednesday, 21 January 2015

100 BUKU SETAHUN

Mesyuarat JK Induk dan JK Kerja PSS yang telah diadakan pada 20 Januari 2015 telah bersetuju dengan cadangan Tuan Guru Besar, Tuan Haji Hamzah bin Mat Ali, AMP., untuk menyasarkan setiap murid sekolah ini mencapai sasaran rekod NILAM dengan jumlah minimum 100 buah setahun.

Sehubungan itu, semua guru bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan dibantu oleh guru kelas dari Tahun 1 hingga Tahun 6 akan memastikan murid akan merekodkan bacaan masing masing dalam buku Rekod NILAM sekurang-kurangnya 10 buah sebulan.

Adalah menjadi harapan JK Induk dan JK Kerja PSS terutama Unit Program NILAM dan Unit Perpustakaan mencapai target yang telah dipersetujui.

Friday, 25 July 2014

PEMILIHAN TOKOH NILAM DAERAH MARAN

PKG BANDAR JENGKA, 22 Julai 2014, Selasa - SK Bandar Pusat menghantar Nur Fatin Aisyah untuk kategori Bahasa Melayu dan Muhammad Danial untuk kategori Bahasa Inggeris.







Keputusan pemilihan tersebut meletakan Nur Fatin di tempat ketiga manakala Muhammad Danial di tempat kedua.

Wednesday, 25 June 2014

PEMILIHAN TOKOH NILAM DITUNDA

Tokoh NILAM SKBP yang telah dipilih menyatakan penerimaan mereka berikutan pindaan tarikh tersebut sebagai satu peluang mendapatkan maklumat dan lebih bersedia semasa pemilihan sebenar kelak.

Friday, 20 June 2014

ANUGERAH NILAM & PEMILIHAN TOKOH NILAM 2014

21 Jun 2014, satu aktiviti melibatkan Unit Program NILAM, PSS SK Bandar Pusat akan diadakan pada pukul 11.10 pagi di Foyer Tun Abdul Razak.

Sejumlah 90 orang murid akan menerima anugerah NILAM merangkumi Anugerah Nilam (4), Anugerah Emas (13), Anugerah Perak (16) dan Anugerah Gangsa (67). Seterusnya pengumuman Tokoh NILAM Sekolah dan calon Tokoh NILAM yang akan menyertai sekolah ke peringkat daerah Maran yang akan berlangsung pada 25 Jun 2014 di PKG Bandar Pusat.

Adalah menjadi harapan, Tokoh NILAM sekolah bakal menampilkan kecemerlangan dan berjaya mewakili daerah.


Thursday, 16 January 2014

NILAM

Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) merupakan antara program yang sedang dirangka agar aktif bergerak di bawah kendalian PSS SK Bandar Pusat dan menjadi tunjang aktiviti Unit Perpustakaan, Unit Program NILAM dan Unit Taman NILAM.

Sehubungan itu, semua murid dimestikan memiliki Buku Rekod NILAM dengan mencatat sekurang-kurangnya 4 buah buku Bahasa Melayu dan 4 buah buku Bahasa Inggeris dalam sebulan. Semestinyalah pembacaan yang lebih adalah sesuatu yang diharapkan bagi menjayakan program ini. Oleh itu, adalah menjadi harapan agar pada penghujung tahun ini, lebih 60% murid akan menerima sekurang-kurangnya Anugerah Gangsa bagi Program NILAM ini.

Di samping itu, penerima Anugerah NILAM, Anugerah Emas dan Anugerah Perak juga diharapkan mencapai tahap yang membanggakan. Sebagaimana tahun 2013, hendaknya pada tahun 2014 ini pencalonan Tokoh NILAM yang dihantar ke peringkat negeri Pahang akan membawa sesuatu yang membanggakan sekolah.

Calon Tokoh NILAM 2014 kini dalam penilaian dan bimbingan agar mampu membawa kecemerlangan kepada sekolah.

Adalah menjadi harapan 2014 agar semua guru bahasa sama-sama menjayakan Program NILAM ini.

Disediakan oleh GPM SK Bandar Pusat 2014

Tuesday, 2 July 2013

ULAT BUKU BULAN PSS

Julai merupakan Bulan Membaca, oleh itu, PSS SK Bandar Pusat tidak mahu ketinggalan menyertai program diadakan dengan mengadakan BULAN PSS bermula 8 Julai hingga sebelum cuti persekolahan Ogos 2013 ini.

Program pertama yang akan berterusan ialah MENCARI ULAT BUKU PSS 2013. Pelaksanaan program ini akan dilakukan melalui mengenalpasti murid yang tekun membaca dalam kawasan sekolah pada waktu senggang/ rehat yang ditemui oleh guru-guru tertentu. Murid berkenaan akan diberi stiker untuk dilengkapkan  maklumat ringkas murid seperti nama dan kelas dan dilekatkan ke atas badan ulat (abdomen) yang disusun mengikut hari , seterusnya dipamerkan dan pemilihan raja ulat, ratu ulat, ibu ulat, bapa ulat, anak-anak ulat buku akan dipilih pada penghujung Program Bulan PSS 2013.

Diharapkan program ini akan membuatkan murid akan lebih gemar membaca dan dapat menggunakan masa terluang selain membaca juga untuk melengkapkan rekod NILAM dan sudah pasti menggunakan kesempatan Bulan Ramadan dengan membaca kerana murid pasti tidak akan ke kantin sebaliknya akan ke perpustakaan, pondok NILAM, taman NILAM dan Laman-laman NILAM sekitar SK Bandar Pusat.

CALON NILAM SKBP KE PEMILIHAN DAERAH


Hari ini, 2 Julai 2013, PSS SK Bandar Pusat menghantar 2 calon NILAM ke Pemilihan Calon NILAM Peringkat Daerah Maran yang berlangsung di PKG Bandar Pusat Jengka.

Mereka terdiri daripada Nur Ain Faiqah dan Nurul Ain Nadhirah.





Thursday, 9 May 2013

PROGRAM SAHABAT BUKU

Unit Perpustakaan telah menganjurkan Program Sahabat Buku semenjak awal Februari 2013.

Program ini bermatlamat untuk melihat budaya bersama dan bersahabat dengan buku dipamerkan oleh setiap murid di SK Bandar Pusat.

Sejak dilancarkan hampir semua murid Tahap 2 sekolah ini telah terlibat iaitu hampir 350 orang murid yang telah menerima 'Penanda Buku'. Sehingga hari ini (Khamis - 9 Mei 2012) terdapat 63 orang murid telah menyerahkan 'Penanda Buku' yang telah lengkap dengan 20 stiker Sahabat Buku.

Satu program penganugerahan Sahabat Buku akan diadakan kemudian bagi menggalakkan dan menghargai semua murid agar sentiasa membawa buku ketika berada di dalam kawasan sekolah terutama pada waktu rehat.

Kesan daripada program ini, kebanyakan murid akan bersama buku ketika rehat. Perlu diingat bahawa pemberian stiker Sahabat Buku untuk dilekatkan pada Penanda Buku tidak mensyaratkan murid perlu membaca atau membawa bersama Rekod Bacaan NILAM tetapi hanya sekadar membawa buku dan membeleknya sesekali sambil diperhatikan oleh guru tertentu seterusnya diberi stiker Sahabat Buku.

Dengan ini, budaya bersama buku akan tertanam dengan sendiri dan boleh dilihat sekarang walaupun ada ketikanya murid tidak diberi stiker Sahabat Buku. Lebih menarik apabila stiker yang dibekalkan berbagai warna bagi menarik minat murid.

Alhamdulillah, program ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan masih berterusan.

Wednesday, 26 September 2012

READ 2012

PSS SK Bandar Pusat telah mendaftar dengan Program Read 2012 dan akan menyertai Kem Membaca 1Malaysia Negeri Pahang yang akan berlangsung pada 22 dan 23 Oktober 2012.

Jika merujuk kepada Program Read 2012, pelaksanaan program berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober 2012, tetapi pada 24 Oktober 2012 Negeri Pahang bercuti Hari Hol manakala pada 25 Oktober 2012 adalah cuti berganti Hari Raya Aidil Adha.


Thursday, 8 March 2012

GOTONG-ROYONG TAMAN NILAM 2012

Pada 3 Mac 2012, sekali lagi JK PSS turun padang menyiapkan Taman NILAM. Kerjasama guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa telah berjaya menyiapkan lantai simen pondok-pondok NILAM lebih awal daripada yang dijadualkan.

JK PSS turut mengucapkan terima ksih kepada GPK HEM En Al-Azmi Mustapha Kamar yang bertungkus lumus menyediakan kemudahan dan peralatan bagi memastikan program ini berjaya.




Terima kasih, daun keladi.

GPM 8 Mac 2012

Tuesday, 28 February 2012

PROGRAM NILAM

PENGENALAN

Suatu tamadun atau bangsa yang bertamadun hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Pendekatan yang terbaik untuk membina bidang ilmu sesebuah negara dan menjana perkembangan mental seseorang ialah melalui amalan membaca yang berterusan dan bukan hanya berorientasikan peperiksaan.

Kajian literasi oleh Perpustakaan Negara Malaysia 1996 mendapati kebanyakkan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Kajian juga mendapati keutamaan pelajar membaca ialah untuk tujuan pembelajaran dan sedikit untuk bacaan senggang. Suatu pendekatan yang wajar dilaksanakan untuk memupuk tabiat membaca ialah dengan menubuhkan Program NILAM.

APAKAH NILAM?

‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membina tabiat membaca di kalangan murid dengan hasrat mewujudkan masyarakat Malaysia yang cintakan budaya membaca dan budaya ilmu.

· Program NILAM ini merangkumi rancangan membina tabiat membaca secara terancang dan berterusan melalui aktiviti-aktiviti galakan membaca di sekolah.
· Ia merupakan program penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun.
· Program ini telah mula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun 1999 dan penilaian pembacaan mereka diteruskan sehinggalah mereka tamat persekolahan.

MENGAPA?

Matlamat program NILAM ialah untuk membina tabiat membaca di kalangan masyarakat negara ini, khususnya golongan pelajar.

OBJEKTIF

· Menjadikan murid banyak membaca.
· Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca.

CIRI-CIRI PELAKSANAAN NILAM

· Murid
Murid membaca buku yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka dan mencatat maklumat pengarang, judul, penerbitan dan sinopsis buku yang dibaca ke dalam buku rekod.
· Guru
Guru mengesahkan serta menandatangani rekod bacaan murid. Data rekod murid henaklah diserahkan kepada Pusat Sumber Sekolah untuk dianalisis.

· Pengumpulan Data
Data pembacaan murid dikumpul dan diselaraskan di peringkat kelas, negeri dan kebangsaan pada setiap tahun.
· Pengiktirafan dan Ganjaran
Data rekod bacaan yang dikumpulkan dari sekolah akan dinilai di peringkat kebangsaan. Sekolah juga perlu memberi pengiktirafan kepada murid yang telah mencapai tahap bacaan yang tertinggi. Murid-murid yang banyak membaca diberi pengiktirafan dan ganjaran.


TAHAP PELAKSANAAN DAN PENCAPAIAN NILAM

Pelaksanaan Program NILAM ini dibahagikan kepada dua tahap:
1.          Tahap Juahari
2.          Rakan Pembaca


TAHAP JUAHARI

Murid-murid pada peringkat ini wajib melibatkan dalamaktiviti pembacaan sebaik sahaja mereka tahu membaca dan mula belajar ( Pertengahan Tahun dalam Tahun 1). Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut :

Tahap Pengiktirafan NILAM Juahari Sekolah Rendah

BILANGAN BUKU
PENGIKTIRAFAN
90 – 179 buah buku
Gangsa
180 – 269 buah buku
Perak
270 – 359 buah buku
Emas
360 buah buku ke atas
NILAM


RAKAN PEMBACA

· Adalah murid-murid yang sudah membaca lebih dari 100 buah buku dan mereka layak dipilih ke tahap ini.

· Murid-murid pada tahap Rakan Pembaca akan dibimbing oleh guru atau fasilitator untuk turut serta di tempat-tempat aktiviti dan membantu membuat  pengesanan kemajuan aktiviti yang dijalankan murid secara tidak formal.

· Murid-murid yang dipilih sebagai Rakan Pembaca akan dilatih melalui bengkel dan sesi tunjuk cara yang dirancang untuk menjayakan aktiviti ini. Mereka akan memilih dan meminjam buku dari pusat sumber sekolah untuk di bawa pulang. Buku-buku yang dipinjamkan akan juga dibaca oleh rakan-rakan, keluarga dan jiran.
· Murid juga dilatih untuk menjalankan aktiviti pembacaan bersama rakan-rakan di sekolah seperti aktiviti bercerita, membaca bersama dan bicara buku. Aktiviti yang mereka jalankan akan diberi skor pemarkahan mengikut ramai pendengar, pembaca dan peminjam buku mereka.

· Pelajar pada tahap Rakan Pembaca ini diberikan pemarkahan usaha mereka mengikut Jadual Sistem Ganjaran RP.

Cadangan markah bagi aktiviti-aktiviti Rakan Pembaca adalah seperti berikut :

MARKAH
PENGIKTIRAFAN
100 – 199
Gangsa
200 – 299
Perak
300 – 399
Emas
400 ke atas
NILAM


SISTEM PEMARKAHAN RAKAN PEMBACA

· Bercerita pada 1 sesi x 5 pendengar         = 5 markah*
· Membaca bersama 1 sesi x 3 pembaca    = 3 markah*
· Bicara buku 1 sesi x 15 pendengar  = 5 markah*
· Meminjam buku 1 buku x 20 peminjam     = 5 markah*
* Markah maksimum setiap aktiviti
GANJARAN

Apabila aktiviti galakan membaca diberi pengiktirafan dan dipiawaikan melalui NILAM, masyarakat akan dimaklumkan tentang klasifikasi pengiktirafan ini.

Penganugerahan ini akan menjadi satu aset dan pemangkin budaya suka membaca. Antara ganjaran yang diperolehi murid adalah :

· Skor markah rekod bacaan murid akan dimasukkan ke dalam Buku Rekod Kemajuan Murid pada setiap akhir tahun.

· Markah Rekod bacaan ini dikira dari jangkamasa 6 tahun persekolahan peringkat Rendah dan 5 tahun persekolahan peringkat Menengah.

· Markah Rekod Bacaan ini akan dimasukkan ke dalam Sijil Berhenti apabila murid menamatkan persekolahannya.

· Pihak sekolah juga wajar memberikan surat sokongan kepada murid yang layak menerimannya.

· Murid yang telah mencapai rekod bacaan tertinggi di peringkat kebangsaan akan diberi Anugerah NILAM.




CONTOH-CONTOH AKTIVITI MEMBACA

· Projek Pukal
Setiap kelas dibekalkan 30 – 50 buah buku dan murid dibenarkan meminjam buku setiap hari sebanyak mana mampu

· Anotasi Buku
Murid digalakkan untuk banyak membaca dan membuat ulasan tentang cerita yang dibaca di dalam buku rekod. Ulasan ini boleh dibentangkan semasa perhimpunan dan murid boleh mendapat markah Rakan Pembaca untuk aktiviti ini.

· Khemah Membaca
Kem ini diadakan pada tiap-tiap tahun. Murid akan didedahkan dengan teknik membaca, kemahiran pengendalian maklumat, ADD dan kerja projek.

· Kuiz Bestari
Pada setiap bulan, soalan dikemukakan dan kelas akan menghantar penyertaan yang mebincangkan isu-isu berkaitan Kemanusiaan, Alam Sekitar, Kesihatan, Sejarah, Keselamatan Jalan Raya, Bahaya Dadah dan Bahasa. Pemenag akan dipilih dan diberikan hadiah insentif.


CADANGAN MASA PELAKSANAAN NILAM

· Satu masa membaca di perpustakaan dimuatkan dalam jadual kelas mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

· Ada juga waktu yang diperuntukkan untuk aktiviti PSS yang melibatkan pengajaran kemahiran membaca. Contohnya aktiviti untuk Minggu Pusat Sumber Sekolah.

· Murid meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit semasa waktu perhimpunan mingguan untuk aktiviti membac seperti membuat ulasan buku.

CABARAN

Program NILAM ini tidak akan mencapai objektif yang ditekankan sekirannya terdapat masalah kurangnya kerjasama dari pihak yang bertanggungjawab dan di samping kelemahan penyediaan prasarana yang akan melembabkan proses pelaksanaan program ini. Antara faktor-faktor yang perlu ditekankan dalam berbagai cabaran melaksanakan prorgram ini seperti:

· Penyediaan koleksi bahan-bahan bacaan PSS
Memastikan koleksi bahan di pusat sumber sekolah sentiasa selaras dengan perkembangan semasa agar ia dapat menarik minat murid untuk sering mengunjungi pusat sumber.
· Sokongan pihak pentadbiran sekolah
Aktiviti-aktivti pembacaan tidak akan dapat berjalan dengan lancar sekiranya pihak pentadbiran kurang memberi sokongan dalam menjalankan aktiviti Pusat Sumber termasuk menyediakan masa dan hari yang sesuai serta bantuan kewangan untuk menjalankan program ini.

· Penglibatan ibu bapa dan guru-guru
Aktiviti membaca akan menjadi lebih aktif dan berkesan sekiranya ibu bapa memberi sokongan membaca semenjak dari kecil kepada murid. Selain itu, guru memainkan peranan penting dalam menekankan bacaan murid di sekolah. Contohnya memuatkan aktiviti-aktiviti bacaan seumpama teka silang kata dan latihan menulis ulasan dalam pengajaran mereka.

IMPAK

Kesan daripada penglibatan murid dalam aktiviti-aktiviti membaca dan kerjasama dari guru-guru serta penyelaras pusat sumber dalam pelaksanaan program ini akan mewujudkan golongan murid  yang mempunyai minat membaca yang tinggi serta menjadikan tabiat membaca sebagai satu cara hidup dalam membentuk masyarakat intelektual, elit dan bermoral dari segi pemikiran juga pertimbangan hidup.



KESIMPULAN

Program NILAM adalah satu pendekatan yang memberi peluang dan galakan kepada murid-murid menggunakan keupayaan diri dalam membentuk tabiat membaca. Pelaksanaan program secara sistematik disokong dengan dokumen dan rekod yang sahih memudahkan penilaian dan pengiktirafan.


PROGRAM GALAKAN MEMBACA
PUSAT SUMBER SEKOLAH 2012